Aug 5, 2009

Bagaimana cara dapat rawatan terbaik H1N1?

Senario di hospital kerajaan berkaitan mengenalpasti jangkitan H1N1...petikan dari luahan hati seorang ibubapa..."Apabila ditanya adakah anak saya menunjukkan tanda-tanda penyakit H1N1, doktor bertugas memberitahu bahawa melihat keadaan anak saya tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit H1N1.
Jadi pada dasarnya kata doktor berkenaan, saya tak perlu risau.
Apabila saya cakap tak perlukah diambil sampel darah atau air liur, saya diberitahu bahawa anak saya demam, batuk dan selesemanya tidaklah teruk, jadi tak perlu.
Begitu juga dengan saya yang hanya mengalami ‘sedikit’ demam dan sakit tekak sahaja. Jadi saya bertanya, masa bilakah pihak hospital akan mengambil sampel sedemikian, jawapannya ialah apabila pesakit itu menunjukkan tanda-tanda kritikal seperti sesak nafas dan demam pada suhu yang tinggi.
Sungguh menakjubkan, sudah ada tanda-tanda nazak baru nak buat semua ujian. Patutlah jumlah korban H1N1 sudah bertambah.
Seperkara lagi, doktor itu ada bertanya, saya ada membuat sebarang contact dengan pesakit H1N1? Apabila saya jawab tidak, dia kata saya tak perlu risau.
Apabila saya beritahu bahawa anak saya telah pulang bercuti kerana IPTAnya dikuarantin, dia dengan sinis pula bertanya, adakah anak saya dijangkiti penyakit H1N1?
Saya pula membalas dengan menjawab doktor tak tahu ke yang penyakit ini boleh merebak dengan begitu mudah. Melalui udara pun kita boleh mendapatnya walaupun kita tidak bersentuhan dengan pesakit H1N1.
Jawapan saya itu mungkin menyakiti hatinya dan selepas itu dia tidak lagi melayan saya apabila saya cuba berbual atau bertanya lebih lanjut.
Jadi janganlah salahkan pesakit atau waris mereka kerana tidak pergi mendapatkan rawatan lebih awal kalau pihak hospital atau doktor sendiri mengambil cara mudah untuk merawat pesakit.
Sepatutnya ujian diambil tanpa perlu menunggu pesakit menjadi kritikal. Keadaan ini pada saya amat mengelirukan.
Saya berharap pihak Kementerian Kesihatan mengambil tindakan yang lebih proaktif dalam menangani penularan penyakit H1N1 ini. Janganlah suruh orang ramai mengambil sikap atau langkah berjaga-jaga, padahal apalah kuasa kami kalau penularan virus ini melalui udara yang mana semua manusia bebas bernafas melepaskannya di mana-mana saja. "

No comments:

Post a Comment